12/09/2008

GERAK USAHAWAN NATIONAL 2009

Assalammualaikum...

Disini ada peluang baik untuk anda semua mempromosikan produk keluaran anda. MECD akan mengadakan GERAK USAHAWAN NASIONAL 2009 di PWTC pada 17 dan 18 Januari akan datang ini. Jika anda ada produk-produk untuk dipasarkan, ini adalah platform yang baik untuk anda sertai. Harga standard booth 3m x 3m adalah RM250 sahaja. Jika anda berminat, sila print borang dibawah atau dapatkannya di laman web MECD (www.mecd.gov.my)dan faxkan ke 03-88805316 secepat yang mungkin kerana tempat adalah terhad. Selamat Maju Jaya..

PERLANTIKKAN PN NORA SEBAGAI KETUA BIRO USAHAWAN KEDUA DAERAH CHERAS



Assalammualaikum,

Pada mensyuarat AJK Daerah Cheras yang lalu, keputusan telah dibuat sebulat suara bagi melantik PUAN NORA sebagai Ketua Biro Usahawan Daerah Cheras kedua untuk membantu saya dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan oleh biro ini. Dengan perlantikan ini, saya amat berharap kita akan dapat memantapkan lagi pergerakan Biro Usahawan Daerah Cheras dengan aktiviti-aktiviti yang menarik.

Saya memohon maaf kerana sudah lama tidak menulis di dalam blog ini kerana kesibukan tugas dan juga kesibukan menjalankan aktiviti-aktiviti Wanita Ikon. Sekarang, saya berasa amat lega kerana Pn Nora akan bersama saya bagi menjayakan segala aktiviti yang telah dirancang untuk tahun depan. Silalah ikuti blog ini bagi mengikuti perkembangan aktiviti-aktiviti terkini yang akan dijalankan tahun depan.

Terima Kasih,
Datin Azie Sheikh Mohd
Ketua Biro Usahawan Cheras
Wanita IKON 2007

2/09/2008

KLINIK USAHAWAN

Asallammualaikum semua..
Saya bercadang akan mengadakan Klinik Usahawan pada 26hb Feb 2008 bertempat di MECD(Kementerian Pembangunan Usahawan). Surat kepada Kementerian telahpun saya kemukakan, cuma tunggu keputusan pihak Kementerian. Puan-puan akan diberitahu melalui SMS setelah saya mendapat keputusan dari pihak Kementerian.

Kepada puan-puan yang telah menghantar 'Borang Pengaduan Masalah Perniagaan', insyallah akan mendapat jalan penyelesaian masalah puan-puan pada hari tersebut. Kepada puan-puan yang tidak mempunyai 'Company Profile' diharap dapat membawa gambar-gambar (gambar pemilik syarikat,gambar syarikat & gambar produk) dan maklumat syarikat (Company Registration) dalam bentuk CD untuk persediaan membuat 'Company Profile' pada hari tersebut. Sila bawa bersama flyers syarikat (jika ada).

Saya harap kepada semua supaya mengambil peluang ini dan moga-moga Klinik ini dapat membantu puan-puan dalam menyelesaikan masalah-masalah perniagaan puan-puan.

Sekian Terima Kasih
Ketua Biro Usahawan
Datin Azie

1/02/2008

BULETIN BICARA NEGARA : 1 - 10 JAN 2008


SINAR Ahad, 23 Dec 2007


USAHANITA CHERAS TUMBANG 2 EKOR LEMBU & RAIKAN ANAK YATIM DI AIDIL ADHA

Tahniah! Usahanita Cheras kerana buat kali pertamanya dalam sejarah Persatuan Usahanita, berjaya mengadakan Majlis Korban. Disamping itu juga, ahli Usahanita Cheras meraikan 35 orang anak yatim dan menyampaikan sumbangan bantuan sekolah kepada mereka.

PRESS RELEASE

USAHANITA
PERSATUAN USAHAWAN WANITA BUMIPUTRA MALAYSIA
DAERAH CHERAS, CAWANGAN WILAYAH PERSEKUAN
Pejabat Urusetia : No. 13A, Jalan Badminton 13/29, 40100 Shah Alam, Selangor.
Tel : 603-55109294 Fax : 603-55121802


SIARAN AKHBAR
Tarikh : 21hb Dec 2007

PERKARA : USAHANITA DAERAH CHERAS SAMBUT HARI RAYA AIDILADHA DENGAN KORBAN 2 EKOR LEMBU & SUMBANGAN BANTUAN SEKOLAH KEPADA 40 ANAK-ANAK YATIM.

USAHANITA adalah sebuah badan NGO yang mempunyai ahli-ahli yang terdiri dari Usahawan-Usahawan wanita mempunyai kepakaran dalam berbagai bidang. Persatuan ini bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya saing dan mewujudkan jaringan perniagaan sesama ahli.

Julung kali diadakan, Biro Agama Usahanita Cheras telah menganjurkan Majlis Hari Raya Aidiladha dengan mengorbankan 2 ekor lembu. Daging-daging lembu kemudian telah di edarkan kepada rumah anak-anak yatim dan warga tua di sekitar Lembah Klang. Majlis tersebut telah diadakan seperti butiran dibawah:

Tarikh : 21hb December 2007
Jam : Korban diadakan pada pukul 9 pagi
Majlis Yasin & Anak Yatim diadakan pada pukul 2 - 5 petang
Tempat : Di Kediaman Puan Saerah Atan ( Ketua Biro Expo Daerah Cheras)
No 4, Jalan USJ 11/2G, Subang Jaya, Selangor.

Disamping itu juga, majlis tersebut telah meraikan anak-anak yatim dari rumah anak-anak yatim kelolaan persendirian, Hjh Kamariah dari Taman Medan. Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua Persatuan Usahanita Daerah Cheras merangkap Setiausaha Agung Usahanita Malaysia iaitu Puan Faridah Jaabar. Anak-anak yatim ini di beri sumbangan berbentuk peralatan sekolah dan bantuan kewangan oleh ahli-ahli Usahanita Cheras seperti yang tersenarai:

1) Puan Faridah Jabar – Lebarina Jaya Sdn. Bhd. Alat-alat tulis
2) Puan Saerah Atan – Butik Kriteria Duit Raya dan Bantuan Kewangan.
3) Puan Norliza Othman – DTC Fabric Enterprise Alat-alat Tulis
4) Puan Shara Zuhaney Ahmad – Ratu Dewi Cosmetics Bantuan Kewangan
5) Datin Normaziah Sheikh Mohd – Kayla Beverly Hills Kasut & Baju Sekolah

Majlis ini bertujuan untuk :
1) Menjadi acara tahunan Usahanita Daerah Cheras.
2) Memupuk keinsafan dan kesedaran ahli kepada erti pengorbanan.
3) Membantu kepada mereka yang memerlukan.
4) Memupuk silaturahim antara ahli-ahli dan keluarga Usahanita Cheras
5) Memperluaskan jaringan perniagaan.

Di majlis tersebut, bacaan surah Yasin telah disedekahkan kepada ahli-ahli keluarga Usahanita yang telah meninggal dunia dan doa selamat telah diadakan untuk kesejahteraan dan keberkatan perniagaan ahli-ahli Usahanita Cheras. Ahli-ahli Usahanita Cheras percaya, dengan keberkatan perniagaan, perniagaan mereka akan maju dan dapatlah mereka membantu kepada insan-insan yang serba kekurangan.

PEMENANG ANUGERAH WANITA IKON!!

Tahniah kepada Datin Azie kerana memenangi Anugerah Wanita Ikon Malaysia yang pertama.

Utusan MAlaysia - 31 Dec 2007

Normaziah dinobat Wanita Ikon 2007
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Seorang usahawan produk kecantikan, Datin Normaziah Sheikh Mohamed malam ini dinobatkan sebagai Wanita Ikon 2007 kerana usaha beliau dalam dunia kecantikan dan giat membantu kerja-kerja amal terhadap masyarakat.
Normaziah, 37, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat MegaPadu yang sinonim dengan produk Kayla Beverly Hills membawa pulang hadiah sebuah kereta Proton Persona sumbangan EON, barang kemas bernilai RM30,000 daripada Habib Jewels, wang tunai RM5,000 sumbangan Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (Usahanita) dan trofi kristal tajaan Majalah Wanita, terbitan Kumpulan Utusan.
Beliau juga memenangi tiket penerbangan tajaan Pearl of The Orient dan barangan kosmetik dari Loreal Paris.
Normaziah menewaskan tujuh lagi finalis yang berjaya ke peringkat akhir anugerah tersebut iaitu personaliti, Maznah Zulkifli; usahawan dan bekas pengacara, Sharifah Shawati Syed Mohd; pengasas produk kecantikan Aura Seri, Nor Zaina Ghani; peguam, Raja Riza Shazmin; Chef Azrin Zuliani Zainol; pengasas produk kecantikan Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim dan doktor pembedahan plastik dan bekas gimnas negara, Dr. Farah Hani Imran.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Usahanita dengan kerjasama majalah Wanita, Radio Wanita (WFM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Anugerah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Turut hadir ialah Sultanah Nora Ismail; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Khamsiyah Yeop; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Presiden Usahanita, Datuk Rokiah Omar; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Khalid Mohd.
Pada majlis tersebut juga, empat lagi anugerah turut disampaikan kepada wanita-wanita yang memberi sumbangan kepada masyarakat.
Penerima tersebut ialah Dr. Zeti Akhtar yang menerima Anugerah Tokoh Wanita Ikon 2007 di atas sumbangan dan jasanya kepada negara dan usahawan, Faridah Jabbar yang menerima Anugerah Usahawanita Cemerlang 2007.
Penerima-penerima lain ialah ibu tunggal, Haizah Hanizah Abd. Wahab yang menerima anugerah Ibu Tunggal Cemerlang 2007 dan warga orang kurang upaya, Zainab Omar yang menerima Anugerah Wanita Istimewa Cemerlang 2007.
Sementara itu, Mohd. Nasir Ali dalam ucapannya berkata, pembabitan golongan wanita begitu meluas dalam semua aspek kehidupan dan kerjaya serta berjaya mencipta satu demi satu kejayaan.
‘‘Menyedari hakikat tersebut, Anugerah Wanita Ikon 2007 direalisasikan dengan objektif utama untuk memberi pengiktirafan kepada wanita yang telah berjaya,’’ katanya.
Anugerah ini, menurut beliau, adalah bagi mencari pelapis kepada usahawan wanita sedia ada agar boleh dijadikan contoh kepada wanita lain dan membentuk keyakinan diri mereka dan juga sebagai pemangkin ke arah kejayaan wanita yang lain.
Anugerah Wanita Ikon 2007 ini adalah anugerah eksklusif kepada seseorang wanita yang layak digelar ikon yang menepati ciri-ciri wanita berjaya dan berpersonaliti menarik, peribadi murni dan aktif membantu masyarakat.
‘‘Beliau juga mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang tinggi dan merupakan wanita serba boleh yang dilihat mampu menjadi contoh inspirasi kepada wanita lain seluruh Malaysia,’’ tambahnya.
Seramai 20 orang terpilih ke pusingan separuh akhir dan hanya lapan peserta berjaya melangkah ke peringkat akhir yang diadakan pada malam ini.
Juri profesional yang terlibat mengadili peserta adalah Pengarah Urusan Securiforce Sdn. Bhd., Datuk Maznah Hamid; penggiat seni, Datin Seri Tiara Jacquelina; Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datin Dr. Sharifah Zarah Syed Ahamad.