1/02/2008

PEMENANG ANUGERAH WANITA IKON!!

Tahniah kepada Datin Azie kerana memenangi Anugerah Wanita Ikon Malaysia yang pertama.

Utusan MAlaysia - 31 Dec 2007

Normaziah dinobat Wanita Ikon 2007
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Seorang usahawan produk kecantikan, Datin Normaziah Sheikh Mohamed malam ini dinobatkan sebagai Wanita Ikon 2007 kerana usaha beliau dalam dunia kecantikan dan giat membantu kerja-kerja amal terhadap masyarakat.
Normaziah, 37, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat MegaPadu yang sinonim dengan produk Kayla Beverly Hills membawa pulang hadiah sebuah kereta Proton Persona sumbangan EON, barang kemas bernilai RM30,000 daripada Habib Jewels, wang tunai RM5,000 sumbangan Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (Usahanita) dan trofi kristal tajaan Majalah Wanita, terbitan Kumpulan Utusan.
Beliau juga memenangi tiket penerbangan tajaan Pearl of The Orient dan barangan kosmetik dari Loreal Paris.
Normaziah menewaskan tujuh lagi finalis yang berjaya ke peringkat akhir anugerah tersebut iaitu personaliti, Maznah Zulkifli; usahawan dan bekas pengacara, Sharifah Shawati Syed Mohd; pengasas produk kecantikan Aura Seri, Nor Zaina Ghani; peguam, Raja Riza Shazmin; Chef Azrin Zuliani Zainol; pengasas produk kecantikan Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim dan doktor pembedahan plastik dan bekas gimnas negara, Dr. Farah Hani Imran.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Usahanita dengan kerjasama majalah Wanita, Radio Wanita (WFM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Anugerah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Turut hadir ialah Sultanah Nora Ismail; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Khamsiyah Yeop; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Presiden Usahanita, Datuk Rokiah Omar; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Khalid Mohd.
Pada majlis tersebut juga, empat lagi anugerah turut disampaikan kepada wanita-wanita yang memberi sumbangan kepada masyarakat.
Penerima tersebut ialah Dr. Zeti Akhtar yang menerima Anugerah Tokoh Wanita Ikon 2007 di atas sumbangan dan jasanya kepada negara dan usahawan, Faridah Jabbar yang menerima Anugerah Usahawanita Cemerlang 2007.
Penerima-penerima lain ialah ibu tunggal, Haizah Hanizah Abd. Wahab yang menerima anugerah Ibu Tunggal Cemerlang 2007 dan warga orang kurang upaya, Zainab Omar yang menerima Anugerah Wanita Istimewa Cemerlang 2007.
Sementara itu, Mohd. Nasir Ali dalam ucapannya berkata, pembabitan golongan wanita begitu meluas dalam semua aspek kehidupan dan kerjaya serta berjaya mencipta satu demi satu kejayaan.
‘‘Menyedari hakikat tersebut, Anugerah Wanita Ikon 2007 direalisasikan dengan objektif utama untuk memberi pengiktirafan kepada wanita yang telah berjaya,’’ katanya.
Anugerah ini, menurut beliau, adalah bagi mencari pelapis kepada usahawan wanita sedia ada agar boleh dijadikan contoh kepada wanita lain dan membentuk keyakinan diri mereka dan juga sebagai pemangkin ke arah kejayaan wanita yang lain.
Anugerah Wanita Ikon 2007 ini adalah anugerah eksklusif kepada seseorang wanita yang layak digelar ikon yang menepati ciri-ciri wanita berjaya dan berpersonaliti menarik, peribadi murni dan aktif membantu masyarakat.
‘‘Beliau juga mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang tinggi dan merupakan wanita serba boleh yang dilihat mampu menjadi contoh inspirasi kepada wanita lain seluruh Malaysia,’’ tambahnya.
Seramai 20 orang terpilih ke pusingan separuh akhir dan hanya lapan peserta berjaya melangkah ke peringkat akhir yang diadakan pada malam ini.
Juri profesional yang terlibat mengadili peserta adalah Pengarah Urusan Securiforce Sdn. Bhd., Datuk Maznah Hamid; penggiat seni, Datin Seri Tiara Jacquelina; Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datin Dr. Sharifah Zarah Syed Ahamad.

No comments: